Pages

Monday 27 February 2012

Filem SeeFood Bakal Ditayangkan 8 Mac 2012

Studio animasi tersohor Malaysia, Silver Ant Sdn Bhd telah membuat kenyataan hari ini bahawa mereka telah memilih Grand Brilliance sebagai pihak promosi dan pengedaran filem animasi adventur pertama mereka, SeeFood.
Dalam majlis menandatangani perjanjian tengahari tadi, Ahmad Izham Omar selaku Pengurus Eksekutif Primeworks Studios menyatakan perasaan berbesar hati pihak Grand Brilliance dalam menerima tanggungjawab mempromosi dan mengedarkan filem SeeFood ke seluruh Malaysia. SeeFood, dengan kelasnya yang tersendiri dari segi penceritaan dan kualitinya juga merupakan filem animasi berbahasa Inggeris pertama di Malaysia.
Filem SeeFood berlatar-belakangkan eko-sistem sekitar kita dimana karakter utamanya, Pup dan Julius akan membawa penonton menyertai mereka ke alam pengambaraan penuh misteri yang tidak berpenghujung, ditemani watak lain yang penuh warna.
Apabila berdozen telur dari terumbu Pup dicuri oleh pemburu haram, Pup nekad untuk menyelamatkan abang-abang dan kakak-kakaknya, tanpa mengambil kira akan bahaya misi tersebut. Tekadnya untuk membetulkan keadaan membawa Pup ke dunia daratan, atau dunia Man, dengan kawasan yang indah tetapi penuh dengan bahaya – destinasi yang tak pernah terlintas di benak seekor jerung.
Khuatir akan keselamatan Pup, Julius, seekor jerung berinsang putih muncul dengan misinya yang tersendiri untuk menyelamatkan kawan karibnya. Dengan sut istimewa mereka, keupayaan jerung untuk mengembara di daratan dalam animasi aksi penuh ketawa ini pasti akan mempesonakan anda!
Mr Goh Aun Hee, pengasas dan penerbit animasi bagi Silver Ant menyatakan yang pemilihan Grand Brilliance sebagai pengedar tunggal filem SeeFood merupakan keputusan mudah, berdasarkan kepada pengaruh dan rekodnya yang utuh dalam kejayaan pengedarannya di pasaran Malaysia.
Perjalanan filem SeeFood ke tanah asalnya, Malaysia adalah setanding pengembaraan perjalanan Pup. Selepas tayangan perdananya di Cannes Marche du Film pada bulan May 2011 yang lalu, SeeFood telah ditayangkan di lebih 90 negara sekeliling Amerika Utara, Eropah, Amerika Latin dan Asia. Pada March 8, 2012, SeeFood akan menemui penonton tempatan di 80 buah panggung.
Kejayaan filem animasi penuh Malaysia di tahap antarabangsa akan membantu kejayaan kedua pihak Silver Ant dan juga industri animasi tempatan. Ia sesungguhnya telah meletakkan Malaysia di industri animasi bertaraf antarabangsa, dengan Silver Ant sebagai penanda aras buat industri animasi Malaysia.
Untuk info lanjut berkenaan filem SeeFood, layari www.seefood-themovie.com
Mengenai Primeworks Studios Sdn Bhd
Primeworks Studios menghasilkan program TV sejak tahun 1984 dan filem sejak tahun 1994. Ia menerbitkan lebih 5,000 jam kandungan TV setahun. Primeworks Studios Sdn Bhd adalah penyumbang terbesar kandungan kepada empat saluran televisyen komersil dalam kumpulan Media Prima, iaitu TV3, NTV7, 8TV dan TV9. Antara kandungan yang dihasilkan adalah program hiburan, majalah, dokumentari, drama dan sukan. Rancangan yang popular merangkumi Anugerah Juara Lagu, Majalah 3, Nona, Explorace, Jalan Jalan Cari Makan, One In A Million, Mentor, Wanita Hari Ini, Melodi, Jejak Rasul dan 999.
Primeworks Studios menerusi unit Filem dan Drama iaitu Grand Brilliance juga mengeluarkan kira-kira 10 filem setahun termasuk kerjasama dengan penerbit dan pengarah lain di Malaysia dan 200 jam drama serta telemovie setahun. Antara drama terbitan Grand Brilliance yang pernah memenangi anugerah ialah Miftahul Jamilah, Khilaf dan Sebening Azan Yang Dialun. Filem-filem seperti Cinta, Mukhsin dan Talentime turut memenangi anugerah di peringkat antarabangsa dan turut diterima oleh masyarakat penonton filem di merata dunia.
Mengenai Silver Ant Sdn Bhd
Silver Ant ditubuhkan pada tahun 1999 dengan pemahaman dan pengiktirafan bahawa SEMUA yang terjun ke bidang animasi adalah mereka yang dilahirkan dengan minat yang mendalam untuk ‘menggerakkan’ minat dan impian mereka dengan imaginasi dan emosi. Dalam misi ‘menggerakkan’ kreativiti di kalangan ‘kita’, lahirlah Silver Ant. Kejayaan dari segi kreativiti Silver Ant datang dari maklum balas dan sokongan padu dari klien dan dari segala projek yang pernah dijayakan. Ia telah berkembang dari hanya menerbitkan iklan TV,permainan video, filem pendek, treler filem, ke filem animasi penuh. Animasi merupakan satu bentuk seni yang sentiasa dahagakan kemajuan dari segala segi.

3 comments:

Afzainizam said...

eeemmmm nampaknyerrr bertambah meriah lagi filem animasi kita....
tengok iklan siap ada wau bulan lagiii

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Story terbaru blog kami...
diy pasang flash brake light

ku-cit said...

tak sabar nak tunggu ni..nmpk menarik citer ni hah...

ericoanaci said...

esok 8 mArch jom gegar... panggung wayang..